KUALA TERENGGANU: Ketiadaan pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dikatakan 'tidak panas' dianggap perkara subjektif kerana penerimaan setiap individu adalah berbeza.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan perkara yang paling penting adalah memastikan matlamat sesuatu sidang diadakan itu tercapai dan berjalan dengan baik.

"Saya juga tak tahu apa ukuran panas, tak panas itu. Adakah panas itu baik atau tidak baik?

"Jadi ia adalah sangat subjektif namun apa yang paling penting adalah matlamat sesuatu sidang diadakan itu tercapai.

"Saya yang diamanahkan sebagai ketua kerajaan negeri akan sentiasa memberi peringatan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan adil kepada semua rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan daripada netizen berhubung ketiadaan pembangkang pada persidangan DUN.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, ketiadaan pembangkang dalam persidangan DUN tersebut bukanlah alasan untuk semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan zon selesa.

Beliau berkata, sebaliknya semua 32 ADUN yang telah dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu perlu menjalankan tugas dengan serius dan terbaik.

Jelas Ahmad Samsuri, sidang DUN Terengganu kali pertama untuk penggal ke-15 tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran pembangkang seperti penggal sebelum ini.

"Saya rasa soalan-soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sama sahaja dengan soalan yang dikemukakan daripada wakil-wakil pembangkang pada penggal lalu.

"Ada soalan yang memerlukan penelitian terperinci daripada pihak kerajaan dan ada juga soalan daripada backbencher (penyokong) yang ditolak oleh pihak kerajaan atas sebab-sebab yang tidak menepati syarat-syarat soalan.

"Jadi saya rasa ini perkara biasa (tiada beza perjalanan persidangan DUN walaupun tanpa pembangkang)," jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu Pas memenangi 22 kerusi DUN di Terengganu, manakala 10 kerusi lagi dimenangi UMNO.

Bagaimanapun buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, DUN Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas PN berjaya menyapu bersih 32 kerusi pada PRN yang berlangsung pada 12 Ogos lepas.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik negeri itu apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Pada Rabu, Ahmad Samsuri ketika ucapan penggulungan persidangan DUN Terengganu menyatakan rakyat di negeri ini boleh berperanan sebagai pengkritik bagi memastikan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik meskipun tanpa kehadiran pembangkang.

Beliau berkata, ini kerana semua rakyat mampu memberi pandangan, ulasan dan kritikan menerusi pelbagai medium baharu terutama media sosial pada pada zaman serba baharu dan canggih ini.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata, semua pihak termasuk wakil rakyat dan anggota pentadbiran perlu berlapang dada menerima teguran walaupun adakalanya kritikan tersebut jauh tersasar daripada fakta sebenar. - Sinar Harian